Thursday 20 January 2011


Lambang
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah sebuah perisai yang berpetak empat. Setiap petak mengandungi gambar dan warna latar yang berlainan dengan membawa maksud tertentu. Sebuah buku terbuka terletak di atas perisai ini. Gambar yang didapati dalam petak tersebut ialah seperti berikut:

• Seekor harimau berwarna kuning yang gagah sedang menyerang ke arah kanan berlatar warna merah.
• Simbol atom berlatar warna kuning.
• Simbol teknologi berlatar warna biru.
• Sekuntum bunga raya berwarna merah berlatar warna putih.

Buku
Buku melambangkan ilmu pengetahuan, iaitu peranan utama UKM sebagai pusat pengajian tinggi dan penyelidikan.

Perisai
Perisai bererti keteguhan. Keteguhan yang dimaksudkan ialah kemampuan UKM memainkan peranan sebagai pusat pengajian tinggi di negara ini.

Falsafah
Harimau melambangkan keberanian dan kegagahan. Harimau mencerminkan masyarakat Malaysia yang berteraskan kebudayaan Melayu. Harimau garang menggambarkan kesediaan UKM mara memerangi kejahilan, kejahatan dan kepalsuan.

Atom dan Teknologi
Simbol atom dan teknologi melambangkan konsep pembangunan negara yang berlandaskan sains dan teknologi moden. UKM sebagai pusat ilmu bertanggungjawab mengeluarkan tenaga mahir dalam semua bidang untuk memenuhi keperluan pembangunan negara.

Bunga Raya
Bunga raya adalah bunga kebangsaan Malaysia. Lima helai ranggi melambangkan lima prinsip Rukun Negara yang dianuti dan sentiasa dipelihara oleh rakyat Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.