Thursday 10 October 2013



KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai juara Program SME-University Internship 2013 anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp) di sini hari ini. Naib juara dimenangi Universiti Sultan Zainal Abidin manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris ditempat ketiga. Ketiga-tiga pasukan yang menang masing-masing menerima RM50,000 berupa bantuan kewangan yang ditaja Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi memulakan perniagaan mereka sendiri setelah tamat pengajian. Mereka juga masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM12,000,RM8,000 dan RM6,000 sebagai juara, tempat kedua dan ketiga.Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri mewakili Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penutup kejohanan di sini.


Tahniah Diucapkan kepada kumpulan FTSM kerana telah berjaya mengharumkan nama UKM! Semoga mahasiswa/i UKM sentiasa dapat menyertai program yang mampu menaikkan nama UKM di peringkat nasional mahupun global.

sumber : Bernama

Wednesday 2 October 2013

ACEH TENGAH, 26 Sep 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini telah menyampaikan bantuan kepada masyarakat Kampung Cangduri, Mukim Ketul di Aceh Tengah yang dilanda gempa bumi tiga bulan lalu.
Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala richter pada 2 Julai lalu itu telah menenggelamkan Kampung Serempah salah satu kampung dalam kawasan Ketul di sini.
Ia juga mengorbankan seramai 30 orang penduduk, meruntuhkan tiga buah masjid, ratusan rumah kediaman serta kemudahan awam. Malah empat orang lagi mangsa masih belum ditemui.
Bantuan kepada 600 orang mangsa itu telah disampaikan oleh sekumpulan pegawai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang digerakkan oleh Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat (PHUM).
Misi itu diselaraskan oleh Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Encik Abdul Razak Hussin dan disertai Encik Mokshin Tumin, Ketua Unit Zakat; Encik Muhammad Tajuddin Abd Rahim, Pegawai Unit Zakat dan Encik Khairil Khuzairi, Pegawai Pusat Islam serta dibantu Encik Abdullah Wahab, Pengurus Rumah Anak Yatim Al-Ain Banda Aceh.
Perjalanan dari Banda Aceh ke lokasi gempa mengambi masa 14 jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Ia diusahakan atas keprihatinan terhadap kesukaran mangsa gempa yang masih belum terbela sepenuhnya walau pun sudah berlalu hampir tiga bulan. Terdapat beberapa keluarga yang masih tinggal di khemah yang disediakan oleh NGO.
Bantuan itu berupa sumbangan dari Unit Zakat, Pusat Islam, PHUM, Persatuan Setiusaha, SUKMANITA, UKM Holdings, Syarikat REXPO, Kelab Pegawai Sains, Persatuan Kakitangan Akademik, Surau Al-Kautsar Bangi, PERTADI, KESUKMA, warga UKM dan orang perseorangan.
Dana yang terkumpul telah digunakan untuk membekalkan beras, gula, minyak masak, pakaian sekolah dan peralatan di surau sementara kampung itu yang juga digunakan sebagai sekolah agama.
Ketua Kampung itu telah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UKM atas keprihatinan yang ditunjukkan.
Mereka juga mengharapkan bantuan untuk membangunkan semula masjid yang turut digunakan sebagai madrasah dengan kos yang dianggarkan RM150,000.



Sumber : UKMnewsportal