Cetusan pertama gagasan perlunya pendidikan tinggi untuk orang Melayu berlaku dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 1903. Za’ba, seorang cendekiawan, menulis berkenaan gagasan tersebut dalam akhbar Lembaga Melayu pada 1917. Gerakan pemikiran, perdebatan serta tekad golongan cendekiawan Melayu untuk menubuhkan sebuah universiti dan menggunakan bahasa Melayu, bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi bermula pada 1923 apabila Abdul Kadir Adabi, seorang lagi cendekiawan Melayu mengemukakan memorandum gagasan tersebut kepada DYMM Sultan Kelantan. Namun demikian, pemikiran dan tekad tersebut tidak dapat berkembang dan terlaksana kerana wujudnya berbagai-bagai halangan dan rintangan oleh tekanan kolonialisme.
Mulai 1957 hingga 1967, perjuangan untuk penubuhan universiti kebangsaan menjadi semakin bersemarak sebagai memenuhi tuntutan dan semangat kemerdekaan bangsa dan negara. Sehubungan itu, pada 1968 cendekiawan Melayu telah membentuk sebuah jawatankuasa penaja yang berperanan merancang penubuhan sebuah universiti kebangsaan. Pelbagai forum budaya dan politik diadakan bagi mendapat sokongan kerajaan dan rakyat untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang pangajian dan keilmuan. Perjuangan yang tidak pernah luput itu mencapai kejayaan dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970 yang memulakan operasi pertamanya di Lembah Pantai Kuala Lumpur. Kumpulan pertama pelajar prasiswazah seramai 192 orang dan dua (2) orang pascasiswazah mula mendaftar di tiga buah fakulti iaitu Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam.
Pada 1974, UKM menubuhkan UKM Kampus Sabah di Kebun Kawang, Papar. Nama Kebun Kawang kemudiannya ditukar kepada Limauan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun yang ketika itu sebagai Ketua Menteri Sabah. Kampus yang menempatkan Fakulti Sains dan Sumber Alam ini berpindah ke Bukit Padang, Kota Kinabalu pada 1980. Seterusnya berpindah ke Menggatal, Tuaran pada 1990 bersama Fakulti Sains Pembangunan yang asalnya ditempatkan di Kampus Induk Bangi. Dengan penubuhan Universiti Malaysia Sabah pada 1994, UKM Kampus Sabah ditutup secara rasminya pada 1996 dan kedua-dua fakulti berkenaan dipindahkan ke Kampus Induk Bangi, Selangor.
Universiti ini terus berkembang pesat sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam terkehadapan yang kini mempunyai tiga belas (13) fakulti dan enam belas (16) institut kecemerlangan penyelidikan. UKM juga mempunyai entiti yang beroperasi secara komersil, iaitu UKM Holdings Sdn. Bhd. dan UKM Technology Sdn Bhd sebagai satu pendekatan dalam mengkomersilkan dan memasyarakatkan kepakaran yang dimiliki di samping menjana kewangan Universiti.
Kampus induk UKM di Bangi yang memulakan operasinya pada 1977 mempunyai keluasan 1,096.29 hektar. Kampus Induk Bangi menempatkan sembilan (9) fakulti, dan lima belas (15) institut penyelidikan. Selain itu, UKM juga mempunyai sebuah kampus di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur dengan keluasan 20 hektar yang menempatkan Fakulti Perubatan (Praklinikal), Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi. Manakala Pusat Perubatan UKM (PPUKM) yang mempunyai keluasan 22.3 hektar di Cheras, Kuala Lumpur menempatkan Fakulti Perubatan, Hospital UKM dan Institut Perubatan Molekul (UMBI).
Sejak 42 tahun penubuhannya, UKM telah menghasilkan 146,362 graduan. Peningkatan jumlah pelajar luar negara yang setakat ini menjangkau 2,937 pelajar dari 42 buah negara membuktikan penerimaan global terhadap program dan ekosistem ilmu UKM.
Berasaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih empat dekad, UKM dipilih sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia pada 2006. Proses pemantapan bidang penyelidikan disusuli dengan pengwujudan projek tertumpu di bawah lapan (8) nic iaitu Cabaran Membina Negara-bangsa, Pembangunan Lestari Wilayah, Tenaga Keterbaharuan, Teknologi Kesihatan & Perubatan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi & Bahan Termaju, Kepelbagaian Biologi dalam Pembangunan Bioteknologi dan ICT: Informatik Isian.
Universiti juga adalah penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006, memperoleh status Swa-Akreditasi pada 2010 dan diberikan status Universiti Autonomi pada Januari 2012. Penganugerahan ini adalah pengiktirafan bagi kecemerlangan UKM dalam bidang akademik dan tadbir urus. UKM melestarikan kecemerlangannya melalui Pelan Strategik UKM 2000-2020 (PS2020) dan Pelan Transformasi ke arah universiti terkemuka dunia menjelang 2018.
Kini, UKM tampil dengan citra baru melalui garis tanda “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan’. Garis tanda ini memberi keyakinan kepada warganya untuk mengembangkan bakat yang dimiliki, tempat memupuk kebolehan, labuhan untuk berkarya dan berjaya dalam karyaan tersebut, kerana di sini mereka disediakan dengan prasarana untuk memiliki masa depan yang gemilang.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.