Thursday 10 October 2013



KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai juara Program SME-University Internship 2013 anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp) di sini hari ini. Naib juara dimenangi Universiti Sultan Zainal Abidin manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris ditempat ketiga. Ketiga-tiga pasukan yang menang masing-masing menerima RM50,000 berupa bantuan kewangan yang ditaja Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi memulakan perniagaan mereka sendiri setelah tamat pengajian. Mereka juga masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM12,000,RM8,000 dan RM6,000 sebagai juara, tempat kedua dan ketiga.Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri mewakili Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penutup kejohanan di sini.


Tahniah Diucapkan kepada kumpulan FTSM kerana telah berjaya mengharumkan nama UKM! Semoga mahasiswa/i UKM sentiasa dapat menyertai program yang mampu menaikkan nama UKM di peringkat nasional mahupun global.

sumber : Bernama

Wednesday 2 October 2013

ACEH TENGAH, 26 Sep 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini telah menyampaikan bantuan kepada masyarakat Kampung Cangduri, Mukim Ketul di Aceh Tengah yang dilanda gempa bumi tiga bulan lalu.
Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala richter pada 2 Julai lalu itu telah menenggelamkan Kampung Serempah salah satu kampung dalam kawasan Ketul di sini.
Ia juga mengorbankan seramai 30 orang penduduk, meruntuhkan tiga buah masjid, ratusan rumah kediaman serta kemudahan awam. Malah empat orang lagi mangsa masih belum ditemui.
Bantuan kepada 600 orang mangsa itu telah disampaikan oleh sekumpulan pegawai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang digerakkan oleh Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat (PHUM).
Misi itu diselaraskan oleh Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Encik Abdul Razak Hussin dan disertai Encik Mokshin Tumin, Ketua Unit Zakat; Encik Muhammad Tajuddin Abd Rahim, Pegawai Unit Zakat dan Encik Khairil Khuzairi, Pegawai Pusat Islam serta dibantu Encik Abdullah Wahab, Pengurus Rumah Anak Yatim Al-Ain Banda Aceh.
Perjalanan dari Banda Aceh ke lokasi gempa mengambi masa 14 jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Ia diusahakan atas keprihatinan terhadap kesukaran mangsa gempa yang masih belum terbela sepenuhnya walau pun sudah berlalu hampir tiga bulan. Terdapat beberapa keluarga yang masih tinggal di khemah yang disediakan oleh NGO.
Bantuan itu berupa sumbangan dari Unit Zakat, Pusat Islam, PHUM, Persatuan Setiusaha, SUKMANITA, UKM Holdings, Syarikat REXPO, Kelab Pegawai Sains, Persatuan Kakitangan Akademik, Surau Al-Kautsar Bangi, PERTADI, KESUKMA, warga UKM dan orang perseorangan.
Dana yang terkumpul telah digunakan untuk membekalkan beras, gula, minyak masak, pakaian sekolah dan peralatan di surau sementara kampung itu yang juga digunakan sebagai sekolah agama.
Ketua Kampung itu telah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UKM atas keprihatinan yang ditunjukkan.
Mereka juga mengharapkan bantuan untuk membangunkan semula masjid yang turut digunakan sebagai madrasah dengan kos yang dianggarkan RM150,000.



Sumber : UKMnewsportal

Tuesday 24 September 2013

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi sekali lagi telah menganjurkan Liga Bola Sepak IPT 2013 bagi merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi pada tahun ini. Kejohanan ini juga telah melibatkan 4,000 pelajar dari semua entiti dibawah Kementerian Pengajian Tinggi iaitu dari IPTA, IPTS, Kolej Komuniti dan Politeknik dari seluruh negara.
Liga Bola Sepak IPT 2013 ini dikelolakan sepenuhnya oleh Bahagian Sukan , Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan IPTS (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik(MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM).

Sekalung Tahniah diucapkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia Football Club (UKM FC) kerana berjaya meloloskan diri ke peringkat akhir, menentang pasukan daripada Universiti Malaya. Pasukan UKM FC juga telah merangkul naib juara dengan skor 1-3. Perlawanan akhir telah berlangsung di Stadium Universiti Malaya, jam 4 petang ,24 September 2013. Tahniah UKM FC kerana berjaya menjulang nama varsiti kita!

#SayastudentUKM #UKMPride

Saturday 14 September 2013



Empat spesies baru haiwan mikroskopik telah berjaya ditemui oleh penyelidik dari UKM di Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) di Endau baru-baru ini.

Komuniti saintifik antarabangsa telah mengiktiraf penemuan itu selapas kertas laporan dikemukakan kepada beberapa jurnal saintifik bagi bidang biologi dan zoologi. Tahniah lagi sekali diucapkan. Diharapkan agar kecemerlangan UKM sentiasa berterusan lantas meningkatkan lagi nama UKM di persada global.

#sayastudentUKM #UKMpride

Wednesday 11 September 2013

Peluang keemasan kepada seluruh mahasiswa/i UKM untuk memohon biasiswa yang masih dibuka tarikh permohonannya pada bulan September ini. Antaranya ialah MMU Presidents Scholarship dan juga UEM Group Scholarship Programme.

Ayuh semua ! Jangan kita lepaskan peluang ini dan bersama-sama kita memohonnya.

Segala pautan ada disediakan dibawah :-

MMU Presidents Scholarship : http://afterschool.my/scholarship/multimedia-university-presidents-scholarship-2013/

UEM Group Scholarship Programme : http://afterschool.my/scholarship/uem-group-scholarship-programme-2013-local-leading-universities/

sumber : Afterschool.my

Monday 2 September 2013

Hari ini dalam sejarah. 2 September 2013 telah berlangsungnya majlis ikrar pelajar baru. Wakil mahasiswa/i dari Kolej Rahim Kajai (KRK) mengetuai bacaan Ikrar dan telah dilafazkan oleh semua pelajar. Dengan ini, sahlah mahasiswa/i kemasukan 2013/2014 sebagai warga atau legasi barui UKM.




Majlis ikrar ini berlangsung dengan jayanya hasil daripada kerjasama Pemudahcara Pusat dan Pemudahcara Kolej dan semua mahasiswa/i pascasiswazah Universiti Kebangsaan Malaysia. 


Tahniah diucapkan kepada yang berjaya menjadi warga UKM secara rasmi. Semoga kemasukan ini akan menjadikan anda lebih matang dalam menghadapi dunia realiti pada hari ini. 

Gunakanlah masa anda sebaik-baiknya kerana masa akan jadi kawan yang banyak membantu atau lawan yang yang banyak menyusahkan sekiranya tidak digunakan sebaik-baiknya. Pada peringkat ini anda diberi kebebasan sepenuhnya untuk menggunakan masa anda. Semoga anda berjaya menghadapi era baru anda.

Monday 26 August 2013

Program Transformasi Ekonomi-Hala Tuju untuk Malaysia dilancarkan YAB Perdana Menteri, Dato'Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada 25 Oktober 2010. Program ini adalah hasil daripada acara 'bengkel 1,000 orang'dan makmal Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang dikendalikan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan berkembang kerana inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti hanya sebagai titik permulaan dan bukan bertujuan menjadi satu pelan induk tetap bagi aktiviti ekonomi Malaysia untuk 10 tahun akan datang.

Hasil laporan ETP, banyak inisiatif dan aktiviti baru yang belum lagi difikirkan akan muncul apabila pembaharuan bermula, kemunculan peluang baru dan pembangunan pasaran. Beberapa projek akan berkembang, sesetengahnya bakal berubah secara radikal manakala sesetengah yang lain akan ditamatkan.

ETP yang dipacu oleh sektor swasta, akan mentransformasikan ekonomi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sekurang-kurangnya RM48,000 menjelang 2020, di mana 74 peratus daripada pertumbuhan ini akan disumbangkan oleh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Selain itu, ETP akan mencipta lebih tiga juta pekerjaan dengan sebahagian besar daripadanya merupakan yang berpendapatan sederhana atau tinggi.

Inisiatif

Dalam penilaian impak kepada PNK, setiap makmal NKEA telah mengenal pasti inisiatif yang diklasifikasikan sama ada sebagai projek permulaan (EPP) atau peluang perniagaan. EPP adalah projek yang akan menjana pencapaian berimpak besar dengan pantas dan ia merupakan inisiatif yang menentukan dengan jelas di mana para pelabur telah dikenal pasti, pelan perlaksanaan yang terperinci telah diwujudkan serta keperluan pembiayaan telah dinyatakan.

Hasil daripada ETP, ia mampu menyumbangkan sehingga 31 peratus daripada pertumbuhan PNK tambahan yang dikehendaki dan tambahan 10 peratus melalui kesan penggandaan. Selain itu, peluang perniagaan boleh menyumbang tambahan 33 peratus lagi sementara baki 26 peratus pertumbuhan PNK tambahan dijangka akan datang dari sektor lain (bukan NKEA).

Empat NKEA iaitu minyak, gas dan tenaga, perkhidmatan kewangan, minyak sawit serta pemborongan dan peruncitan, diunjurkan menyumbang 60 peratus pertumbuhan tambahan antara 11 sektor NKEA , tidak termasuk Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Kebanyakan inisiatif yang dirancang berasaskan kepada liberalisasi pasaran dan peningkatan persaingan. Faktor ini amat penting untuk menarik syarikat multinasional ke Kuala Lumpur, membangunkan paksi kewangan serantau dalam usaha merangsang pertumbuhan dalam perkhidmatan kewangan Islam. Liberalisasi harga gas dan pengurangan subsidi juga akan mewujudkan disiplin pasaran yang lebih kukuh.

Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi akan didorong oleh inovasi dan anjakan kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dengan tumpuan diberikan kepada kualiti dan pembaikan standard. Dalam NKEA, pertumbuhan akan ditumpukan pada sub-sektor di mana Malaysia mempunyai kelebihan daya saing yang mampan. Sebagai contoh, bagi perkhidmatan kewangan, bidang pertumbuhan utama adalah dalam perkhidmatan kewangan Islam di mana Malaysia mempunyai rekod prestasi cemerlang.

Bagi sektor minyak, gas dan tenaga pula, Malaysia berada dalam kedudukan yang amat mantap untuk membangunkan pusat perkhidmatan medan minyak serantau disebabkan ketersediaan industri minyak dan gas tempatan serta kedudukan negara yang berdekatan dengan kawasan medan minyak di rantau ini.

Menjelang 2020, struktur ekonomi Malaysia akan berubah dengan ketara, di mana sektor perkhidmatan akan mempunyai bahagian yang lebih besar dalam ekonomi dengan menyumbang sebanyak 65 peratus kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 58 peratus pada 2010.

Penggunaan domestik akan menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan menyumbang 59 peratus kepada KDNK menjelang 2020 berbanding 54 peratus pada 2010. Ini bermakna Malaysia akan mengurangkan pengantungannya kepada eksport sebagai pemacu permintaan dan akan setanding dengan ekonomi maju seperti Taiwan dan New Zealand dari segi pertumbuhan permintaan domestik.


Tumpuan Dan Daya Saing : Dua Tunggak ETP

ETP didorong oleh dua tonggak utama; tumpuan dan daya saing. Ini terdiri daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang mewakili sektor-sektor yang telah di fokuskan. Sektor-sektor ini telah dikenalpasti berdasarkan potensi mereka untuk menyumbang kepada PNK dan potensi unutk menggandakan hasil di seluruh ekonomi Malaysia. Selain daripada itu, kerajaan juga mengambil kira kelebihan Malaysia dalam daya saing dari segi tenaga kerja yang mahir, jumlah sumber semulajadi, kepakaran dalam menghasilkan sesuatu dan juga potensi untuk mewujudkan kelebihan yang menjadi ia istimewa dalam bidang itu sendiri.


Setiap NKEA terdiri daripada 'Entry Point Projects' (EPP), yang meneroka bidang pertumbuhan baru dan 'Business Opputunities' (BO), yang membolehkan sektor unutk bergerak lebih tinggi didalam rantaian nilai. Sejumlah 152 EPP telah dikenal pasti dan 149 telah diumumkan. 

NKEAs



Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI)

Program ini juga mengenal pasti enam Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI) yang terdiri daripad dasar sokongan yang akan memacu daya saing global Malaysia. Teras utama SRI adalah untuk menjadikan Malaysia mempunyai persekitaran yang cekap, berdaya saing, dan mesra perniagaan yang bertaraf dunia. Perkara ini dapat menarik pelaburan asing yang amat bernilai.

Nombor dipaparkan dalam seksyen ini adalah betul pada tarikh pengumuman.




Wednesday 21 August 2013

Detik-detik penubuhan MASUM bermula pada tahun 1974 di atas inisiatif pegawai-pegawai sukan universiti pada ketika itu untuk mengadakan pertandingan sukan di kalangan kakitangan universiti tempatan. Pertandingan ini adalah merupakan permulaan terhadap pembangunan kesukanan di antara universiti tempatan dan pada tahun berikutnya (1975), sukan diantara pelajar-pelajar universiti telah diadakan. Pada tahun 1981, Gabungan Universiti Malaysia (GUM) ditubuhkan hasil daripada inisiatif Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Hal-Ehwal Pelajar, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ketika itu. Sebelum penubuhan GUM, semua aktiviti sukan di IPTA dikendalikan secara ‘ad-hoc’ di kalangan IPTA. Nama GUM telah di tukarkan ke Majlis Sukan Universiti dan Institut Pengajian Tinggi Malaysia (MASUIPTIM) pada tahun 1983. Pada tahun 1985, nama MASUIPTIM telah ditukar secara rasmi dan dinamakan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

Semenjak bermulanya karnival MASUM 2013 yang bermula pada 17 Ogos yang lepas dan akan berakhir pada 30 Ogos dimana Universiti Islam Antarabangsa telah menjadi tuan rumah untuk acara yang gilang gemilang ini, kontinjen - kontinjen UKM telah mengecapi beberapa kejayaan yang dapat mengharumkan nama UKM.

Antara beberapa acara yang mendatangkan kejayaan setakat 22 Ogos ini ialah :-
Silat Seni           : 1 gangsa, 1 perak
Tenpin Bowling : 1 perak, 1 gangsa
                                                                                                  
 
Sumber : MASUM.org

Friday 9 August 2013

Di bawah dikongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda untuk kekal sihat semasa hari raya Aidilfitri :
1.  Kebiasaannya pelbagai jenis makanan yang dihidangkan semasa hari raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat, rendah, dan 1001 macam jenis kuih raya. Anda dinasihatkan mengawal nafsu semasa melihat makanan yang terhidang. Cuba ambil masa beberapa saat untuk melihat semua makanan sebelum membuat keputusan untuk memilih makanan yang anda ingin makan. Dengan cara ini, boleh membantu anda untuk mengambil jumlah setiap makanan yang anda inginkan secara terkawal. Seterusnya, dengan makan makanan dalam jumlah yang sederhana dan terkawal, ia akan memberi peluang kepada system penghadaman badan anda untuk terus berfungsi dengan baik sepanjang Aidilfitri nanti.
2.  Dalam keghairahan untuk mencuba semua jenis hidangan hari raya yang tersedia, anda dinasihatkan untuk tidak lupa minum air dengan cukup dan mengambil makanan yang kaya dengan fiber. Ini adalah untuk mengelakkan anda mengalami masalah sembelit semasa hari raya. Tentu tidak seronok, bukan? Orang lain bergembira bertemu sanak saudara di hari raya, tetapi anda ter’perangkap’ di dalam tandas sepanjang hari.
3.  Semua pun sedia maklum, hidangan di hari raya ini kebanyakannya terdiri dari makanan yang manis, berlemak, dan tidak kurang juga mengandungi kandungan garam yang tinggi. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan seperti ini. Selain itu, tidak kurang juga hidangan minuman bikarbonat seperti coca-cola merupakan minuman yang popular di hari raya. Anda perlu ingat, kandungan gula dan kafein di dalam air bikarbonat adalah sangat tinggi. Oleh itu, tidak salah jika anda minum setengah gelas air coca-cola, dan kemudian segelas air kosong sekiranya anda masih berasa dahaga. Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, lemak, garam, dan kafein boleh menyebabkan masalah seperti makanan tidak hadam dan sembelit.
4.  Pengambilan beberapa biji kurma sebelum sembahyang raya adalah sangat digalakkan. Kemudian, anda dicadangkan makan makanan seperi roti gandum penuh, susu rendah lemak, dan sepotong buah-buahan sebagai sarapan ringan sebelum anda menjamah ketupat dan rendang.
5.  Untuk makan tengahari dan makan malam, saya pasti kebanyakan dari kita yang mungkin sudah terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang serta hidangan hari raya yang lain. Namun, sekiranya anda berjaya mengawal pemakanan anda pada hari tersebut, anda bolehlah menambah pengambilan sayur-sayuran, dan buah-buahan segar. Ini kerana saya dapati pada hari raya amat sukar sekali kita lihat makanan yang tersedia yang boleh dihidang bersama sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini sangat penting untuk membantu penghadaman makanan yang anda ambil sepanjang hari tersebut.

Monday 29 July 2013

SHAH ALAM - Timbalan Naib Can-selor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Othman A Karim mengesahkan tiada pelajar institusi itu terlibat ajaran Syiah.

Katanya, perkara itu berdasarkan daripada semakan secara terperinci yang dilakukan pihak universiti itu.

“UKM telah buat semakan lanjut dengan pihak berkenaan dan didapati tiada pelajar UKM terlibat berhubung isu Penyebaran Fahaman Syiah di kampus,” katanya pada kenyataan.

Bagaimanapun katanya, pemantauan  ketat ke atas pelajar tetap dijalankan bagi elak pelajar terlibat.

“Dalam pada masa sama, UKIVI sentiasa pantau dan pastikan pelajar UKM tidak terlibat fahaman Syiah ini serta penularan fahaman ini dari luar kepada pelajar UKM,” ujarnya.

Terdahulu, Pensyarah di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Izhar Ariff Mohd Kashim mendakwa faktor penyebaran ajaran Syiah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) adalah berpunca daripada kehadiran pelajar luar terutama dari Timur Tengah terutama dari Iraq dan Iran.

Menurut Izhar Ariff, pelajar terbabit dipercayai bawa ajaran itu dari negara asal dan cuba menyebarkannya di kalangan pelajar tempatan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/ukm-pantau-ketat-elak-pelajar-terlibat-syiah-1.188121

Wednesday 10 July 2013

Seramai 37 pemimpin siswa universiti dari negara-negara ASEAN telah menyertai program kembara “UNESCO Natural Heritage Discovery: Mount Kinabalu Leadership Challenge, Appreciation and Experience 2013”.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr Shahril Yusof berkata daripada 37 pemimpin siswa tersebut, 12 pemimpin adalah para siswa dari negara Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

“Selain itu, terdapat 25 siswa dari universiti tempatan seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Politeknik Kota Kinabalu, Kolej Komuniti Kuala Langat, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia”, katanya.

Program yang bermula pada 28 Jun dan berakhir pada 7 Julai ini adalah kerjasama antara Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kelab UNESCO UMS. Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah merasmikan pelancaran program tersebut.

Beliau menambah program kembara selama 10 hari itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemimpin-pemimpin muda dari universiti tempatan dan ASEAN mengenai  kepimpinan dan penghayatan warisan semula jadi.

“Ketiga-tiga komponen program yang terdiri daripada aktiviti-aktiviti di UMS dan sekitar Kota Kinabalu, Homestay di Kg. Sinisian, Kundasang dan mendaki Gunung Kinabalu, 13,435 kaki di atas paras laut, adalah bertujuan untuk mendedahkan dan mengajar peserta bagaimana untuk menghadapi cabaran, menghargai Tuhan yang mengurniakan warisan semula jadi seperti tapak UNESCO di Taman Negara Kinabalu serta merasai pengalaman mengenai tradisi dan gaya hidup orang asli rakyat Sabah,” katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut Ketua Setiausaha Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi UNESCO, Mohd Sallehudin Hassan, Pembantu Khas kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Madya Abdul Razak Ahmad, dan Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Malaysia, Nazri Sulaiman.

Pelajar UKM yang terlibat di puncak Gunung Kinabalu

Sumber : http://www.ums.edu.my/v5/index.php/en/news/334-37-pemimpin-siswa-universiti-sertai-program-kembara-komuniti.html

Friday 5 July 2013


Setelah hampir sebulan kita telah berjuang dan memerah segala keringat untuk menghadapi peperiksaan akhir semester, kini tiba masanya untuk kita bertawakal keseluruhannya atas segala usaha yang telah kita lakukan semasa peperiksaan. Antara amalan yang boleh kita lakukan ialah:


Amalan-amalan yang dilakukan pada setiap malam sehingga keluarnya keputusan:
1. Solat sunat istikharah - memohon hidayah.
2. Solat sunat hajat - memohon kejayaan.
3. Solat sunat taubat - memohon kemaafan di atas setipa khilaf yang telah dilakukan.

Apabila selesai melakukan setiap solat sunat tersebut, bacalah ayat-ayat berikut:
1. Surah al-Waqiah - memohon si murahkan rezeki.
2. Surah Yassin - memohon untuk kuat ingatan.
3. Surah Luqman - memohon kebijaksanaan dan berkat Luqmanul hakim.
4. Surah ar-Rahman - memohon kasih sayang daripada pemeriksa terhadap calon (boleh juga 
    dibaca malam sebelum peperiksaan ataupun selepas solat subuh)


Doa yang boleh diamalkan semasa menunggu keputusan peperiksaan keluar:



Semoga dengan segala tips-tips yang telah diberi ini dapat kita sama-sama amalkan dan berharap agar dapat keputusan yang amat memberangsangkan seiring dengan usaha kita. Semoga kita semua mendapat kejayaan seiring dengan kejayaan UKM sebagai Universiti yang bertaraf tinggi.

sumber : carian Google.

Wednesday 19 June 2013


Cyber Security Malaysia bersama dengan UKM telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi menawarkan kursus ijazah sarjana dalam bidang Keselamatan Siber. Perkara ini adalah sesuatu pencapaian yang amat membanggakan bagi UKM kerana telah berjaya berkerjasama dengan syarikat keselamatan siber utama di Malaysia ini.

Bidang ini ditawarkan kerana evolusi teknologi sedang berkembang pesat di negara kita ini dan kita memerlukan modal insan profesional tempatan yang terlatih bagi menangani jenayah siber dan juga melindungi harta siber bagi sesebuah organisasi lantas dapat memberi faedah terhadap pembangunan ekonomi negara.

Tawaran bagi Ijazah Sarjana Keselamatan Siber bermula pada tahun ini dan tempoh pengajian selama satu hingga tiga tahun bagi program sepenuh masa dan dua hingga empat tahun bagi program separuh masa. Bagi kelayakan pula, pemohon secara amnya memerlukan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komputeran dengan memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif minimum 2.75 beserta kelulusan bidang-bidang lain yang berkaitan dengan pengalaman kerja yang mencukupi dalam bidang berkaitan.

Download brochure :
  1.  http://www.ftsm.ukm.my/pdf/mcsbrocur.pdf
  2.  http://www.ftsm.ukm.my/pdf/brocurpro.pdf

Thursday 13 June 2013

Oleh Saiful Bahri 
Foto Fakhrul Hafiz

CAMERON HIGHLANDS, 26 May 2013 – Satu kumpulan penyelidikan pelajar Universiti Kebangsaan Malaya (UKM) mendapati udara di Cameron Highlands mempunyai kualiti yang lebih baik daripada udara di tanah rendah.

Kesimpulan sebulat suara 47 orang pelajar dari enam kumpulan itu dirumuskan pada akhir lawatan sambil belajar mereka ke Cameron Highlands dalam satu program tiga hari "Sukai Liken" yang berakhir hari ini.

Mereka menggunakan liken, sejenis hidupan campuran terdiri daripada kulat dan lumut atau alga hijau yang hidup bersamaan di dalam suatu hubungan yang simbiotik.

Mereka terdiri dari pelajar tahun pertama dan kedua Oleokimia dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Kajian itu adalah fasa kedua kajian di kawasan tanah tinggi selepas membandingkan keputusan dengan penemuan mereka dalam fasa pertama kajian mengenai liken di kampus UKM sebulan lalu pada 27 April.

Saiz, warna dan kepelbagaian liken yang ditemui di kawasan tanah tinggi telah disukat mereka dan dihuraikan menggunakan indeks kepelbagaian liken (LBI). Liken kurang tahan kepada pencemaran udara dan ini menyebabkan ia jarang ditemui di kawasan bandar.

Kajian tertumpu pada batang pokok palma jenis “royal” untuk kajian mereka di kedua-dua kampus UKM dan di Cameron Highlands. Liken tumbuh di batang pokok itu dan pemerhati boleh menelitinya menggunakan alat kuadran 10cm kali 10cm dengan grid empat tangga.

Mereka dipimpin dan dibimbing oleh Profesor Dato' Abdul Wahid Samsudin dari jabatan Oleokimia dengan penasihat kelab Oleokimia, Dr Muhammad Rahimi Yusop dan sebelas fasilitator turut memberi panduan kepada mahasiswa.

Penaung program itu ialah Pengerusi Pusat Penyelidikan Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Prof Madya Dr Mohammad Kassim.

Walau bagaimana pun, usaha itu banyak dijayakan oleh pelajar-pelajar itu sendiri dengan dipimpin oleh pelajar oleokimia Siti Rahimah Mohd Shafiee.

Prof Abdul Wahid berkata liken telah digunakan kerana ia adalah suatu petunjuk baik alam sekitar, terutamanya atmosfera. Liken tidak mempunyai kulit luar untuk melindunginya dan warnanya berubah dengan kualiti udara. Liken sangat bernilai sebagai petunjuk ekologi yang dikenali kerana ia sensitif kepada pelbagai tekanan alam sekitar seperti kualiti udara dan perubahan iklim.

Prof Wahid sangat meminati liken dan penggunaannya dan menggambarkannya demikian:

"Liken amat menarik. Ia adalah sistem komposit, seperti batu karang, iaitu ia adalah gabungan kulat dan alga hidup bersama dalam hubungan simbiotik. Kedua-dua kulat dan alga itu mendapat manfaat daripada satu sama lain. Liken terdapat hampir di mana-mana, yang hidup dalam beberapa persekitaran yang paling ekstrem di dunia. Mereka terdapat di hutan hujan tropika dan terdapat juga di Cameron Highlands”.

Walaupun menyerupai satu organisma, liken sebenarnya adalah suatu gabungan simbiotik perkongsian antara kulat dan satu atau lebih organisma fotosintesis, iaitu alga atau cyanobacterium. Kulat dan alga yang hidup secara berkongsi boleh mendiami pelbagai jenis habitat dan keadaan di mana ia mustahil hidup secara bersendirian.

Biasanya kulat menyediakan kebanyakan struktur organisma komposit dan fizikal, maka ia tidak mempunyai perlindungan. Karbohidrat sebagai sumber makanan dikeluarkan oleh alga yang melakukan fotosintesis.

Liken adalah penting untuk proses kitaran ekosistem dan rangkaian makanan dan kehilangannya boleh mengganggu proses itu, kata Prof Wahid.

Tetapi apa yang terpenting yang terdapat dari liken ialah asidnya yang digunakan untuk membuat produk farmasi seperti antibiotik dan antivirus serta juga untuk kosmetik seperti pewangi.

Prof Wahid kesal bahawa hampir 4,000 daripada 18,000 spesies tumbuhan komposit liken itu telah “hilang” atau pupus, kebanyakannya daripada hutan tropika.

Beliau memperoleh ijazah pertamanya sarjana muda sains dalam bidang Kimia daripada UKM pada 1974.


Saturday 8 June 2013

FELO PERDANA 

Tujuan Program Felo Perdana adalah untuk memberi anak muda Malaysia yang cemerlang dan berbakat pengalaman secara langsung dalam urusan tadbir negara. Felo akan bertugas di peringkat tertinggi dalam Kerajaan Persekutan membantu Menteri Kabinet dalam melaksanakan agenda nasional.

Felo-felo Perdana, sabagai bakal pemimpin negara, harus mempunyai minat di dalam hal ehwal awam dan perancangan dasar kerajaan. Inilah masanya bagi anak-anak muda Malaysia yang mempunyai aspirasi untuk terlibat secara langsung di dalam kepimpinan tanahair disamping menyumbang kearah pembangunan negara.Mohon Sekarang

MENGENAI

Sebagai Felo Perdana, anda akan bertugas sebagai executive intern kepada Menteri Kabinet di mana anda akan membantu mentor anda dan juga pegawai-pegawai kanan beliau merancang dan melaksanakan dasar-dasar Kerajaan disamping membantu di dalam usaha-usaha penerangan tentang pelbagai program Kerajaan melalui media sosial dan saluran komunikasi strategik yang lain.

Sebagai pemimpin muda, anda hendaklah menyumbangkan idea baru dan berani kepada Menteri anda disamping berperanan sebagai jambatan antara generasi anda dan juga Kerajaan.

Program felo ini dirangka untuk memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak, Menteri dan juga Felo yang terlibat.

Menteri Kabinet akan mendapat intern yang muda, idealistik, bertenaga dan bijak sepanjang tempoh program ini, yang mana akan memberi perspektif yang segar kepada beliau.

Manakala, Felo akan didedahkan kepada urusan penting di dalam pentadbiran tertinggi Kerajaan disamping peluang untuk mencurahkan bakti dalam menjayakan agenda nasional dan segala program transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri .

Butiran fungsi dan bidang tugas setiap Felo bergantung kepada mentor mereka. Setiap mentor akan menggariskan rangka kerja dan tanggung jawab yang akan diberi kepada Felo masing-masing.

Felo Perdana Siswazah

Program Felo Perdana Siswazah adalah terbuka kepada semua pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di bawah. Calon yang berminat perlu bersedia untuk menjalani penempatan sekurang-kurangnya 6 minggu dalam program ini. Program Felo Perdana Siswazah dirangka untuk memberi ruang kepada para pelajar untuk menyumbang kepada proses pembangunan Negara dan pada masa yang sama mengilap bakat kepimpinan mereka di peringkat tertinggi Kerajaan.
  1. Calon perlu merupakan Warganegara Malaysia
  2. Calon sedang mengikuti pengajian di mana-mana institut pengajian tinggi, dalam dan luar negara
  3. Calon perlu mempunyai keputusan akademik yang memuaskan.
  4. Calon perlu di bawah umur 30 tahun
  5. Calon perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang kukuh
  6. Calon perlu menunjukkan penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurrikulum
  7. Calon perlu mempamerkan tokoh kepimpinan yang berpotensi tinggi
Felo Perdana Graduan

Program Felo Perdana Graduan adalah terbuka kepada semua graduan baru daripada institut pengajian tinggi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di bawah. Calon yang berminat perlu bersedia untuk menjalani penempatan sekurang-kurangnya 3 bulan dalam program ini. Program Felo Perdana Graduan dirangka untuk memberi ruang kepada para graduan yang ingin memahami dengan lebih mendalam urustadbir Kerajaan and menyumbang kepada proses pembuatan dasar di peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan.
  1. Calon perlu merupakan Warganegara Malaysia
  2. Calon perlu merupakan graduan baru daripada institut pengajian tinggi, dalam dan luar negara
  3. Calon perlu mempunyai rekod akademik yang memuaskan.
  4. Calon perlu di bawah umur 30 tahun
  5. Calon perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang kukuh
  6. Calon perlu menunjukkan penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurrikulur atau program kemasyarakatan
  7. Calon perlu mempamerkan tokoh kepimpinan yang berpotensi tinggi
PERMOHONAN

Untuk memohon menjadi Felo Perdana Graduan atau Felo Perdana Siswazah, sila serahkan CV/Biodata anda, bersekali dengan karangan esei dalam lingkungan 500 patah perkataan. Esei tersebut perlu menjelaskan apakah dasar kerajaan yang anda fikirkan paling penting dan bagaimana ianya dapat ditangani dengan lebih baik.

Semua permohonan perlu dihantar sebelum 20 Jun 2013 ke: perdanafellows@kbs.gov.my

Sumber : http://www.perdanafellows.com/join.html

Friday 7 June 2013

Khas kepada seluruh mahasiswa/i UKM yang bakal menduduki peperiksaan akhir semester yang bermula seawal Isnin depan. Dengan itu, pihak UKM KINI menyediakan beberapa tips agar kita dapat mengulangkaji dengan cara yang sebetulnya dan juga cara untuk mengelakkan perasaan malas ketika belajar. Diharapkan agar tips daripada video ini berguna bagi anda semua. Jom sama-sama saksikan video ini. Selamat menduduki peperiksaan akhir semester dari UKM KINI!


Sumber : www.youtube.com

Wednesday 5 June 2013



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Bulan Rejab merupakan bulan Allah yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada umat-Nya. Pintu rahmat terbuka luas untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas yang perlu dikerjakan dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.

Malam 27 Rejab

Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.

Amalan Malam Rejab :

1. Solat Sunat Tahajjud 2, 8 atau 12 rakaat. 
5. Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih.. 
6. Berdoa. 
7. Memohon keampunan diri dan ibu bapa. 
8. Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh. 

Sayyidatina Aishah berkata bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Mereka tetap kenyang tanpa berasa lapar dan tidak pula haus.

Peristiwa Penting

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

1. Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud; 

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ) :

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,

3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T ) :

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya :

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Iktibar Daripada Kisah Israk Dan Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dulu menjalani pembedahan dada yang dilakukan Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.

Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada baginda. Lantas baginda memilih susu.

Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau.”

Dalam peristiwa Mikraj pula, baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika Israk, antaranya ialah baginda melihat orang yang sedang memotong padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian seterusnya tanpa henti.

Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta yang disedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat ganda.”

Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi. Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.

Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri kemalasannya itu.”

Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu. Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa as, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).

Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.

Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang sama ke Makkah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.” Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.” 

Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.

Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi Musa as, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga. Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia.dan sebagainya, terus kembali ke alam dunia hingga ke Makkah dengan perjalanan yang singkat.

Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ (tahun berduka cita).

Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه


Sumber : iluvislam.com dan shafiqolbu.wordpress.com