Monday 26 August 2013

Program Transformasi Ekonomi-Hala Tuju untuk Malaysia dilancarkan YAB Perdana Menteri, Dato'Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada 25 Oktober 2010. Program ini adalah hasil daripada acara 'bengkel 1,000 orang'dan makmal Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang dikendalikan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan berkembang kerana inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti hanya sebagai titik permulaan dan bukan bertujuan menjadi satu pelan induk tetap bagi aktiviti ekonomi Malaysia untuk 10 tahun akan datang.

Hasil laporan ETP, banyak inisiatif dan aktiviti baru yang belum lagi difikirkan akan muncul apabila pembaharuan bermula, kemunculan peluang baru dan pembangunan pasaran. Beberapa projek akan berkembang, sesetengahnya bakal berubah secara radikal manakala sesetengah yang lain akan ditamatkan.

ETP yang dipacu oleh sektor swasta, akan mentransformasikan ekonomi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sekurang-kurangnya RM48,000 menjelang 2020, di mana 74 peratus daripada pertumbuhan ini akan disumbangkan oleh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Selain itu, ETP akan mencipta lebih tiga juta pekerjaan dengan sebahagian besar daripadanya merupakan yang berpendapatan sederhana atau tinggi.

Inisiatif

Dalam penilaian impak kepada PNK, setiap makmal NKEA telah mengenal pasti inisiatif yang diklasifikasikan sama ada sebagai projek permulaan (EPP) atau peluang perniagaan. EPP adalah projek yang akan menjana pencapaian berimpak besar dengan pantas dan ia merupakan inisiatif yang menentukan dengan jelas di mana para pelabur telah dikenal pasti, pelan perlaksanaan yang terperinci telah diwujudkan serta keperluan pembiayaan telah dinyatakan.

Hasil daripada ETP, ia mampu menyumbangkan sehingga 31 peratus daripada pertumbuhan PNK tambahan yang dikehendaki dan tambahan 10 peratus melalui kesan penggandaan. Selain itu, peluang perniagaan boleh menyumbang tambahan 33 peratus lagi sementara baki 26 peratus pertumbuhan PNK tambahan dijangka akan datang dari sektor lain (bukan NKEA).

Empat NKEA iaitu minyak, gas dan tenaga, perkhidmatan kewangan, minyak sawit serta pemborongan dan peruncitan, diunjurkan menyumbang 60 peratus pertumbuhan tambahan antara 11 sektor NKEA , tidak termasuk Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Kebanyakan inisiatif yang dirancang berasaskan kepada liberalisasi pasaran dan peningkatan persaingan. Faktor ini amat penting untuk menarik syarikat multinasional ke Kuala Lumpur, membangunkan paksi kewangan serantau dalam usaha merangsang pertumbuhan dalam perkhidmatan kewangan Islam. Liberalisasi harga gas dan pengurangan subsidi juga akan mewujudkan disiplin pasaran yang lebih kukuh.

Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi akan didorong oleh inovasi dan anjakan kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dengan tumpuan diberikan kepada kualiti dan pembaikan standard. Dalam NKEA, pertumbuhan akan ditumpukan pada sub-sektor di mana Malaysia mempunyai kelebihan daya saing yang mampan. Sebagai contoh, bagi perkhidmatan kewangan, bidang pertumbuhan utama adalah dalam perkhidmatan kewangan Islam di mana Malaysia mempunyai rekod prestasi cemerlang.

Bagi sektor minyak, gas dan tenaga pula, Malaysia berada dalam kedudukan yang amat mantap untuk membangunkan pusat perkhidmatan medan minyak serantau disebabkan ketersediaan industri minyak dan gas tempatan serta kedudukan negara yang berdekatan dengan kawasan medan minyak di rantau ini.

Menjelang 2020, struktur ekonomi Malaysia akan berubah dengan ketara, di mana sektor perkhidmatan akan mempunyai bahagian yang lebih besar dalam ekonomi dengan menyumbang sebanyak 65 peratus kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 58 peratus pada 2010.

Penggunaan domestik akan menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan menyumbang 59 peratus kepada KDNK menjelang 2020 berbanding 54 peratus pada 2010. Ini bermakna Malaysia akan mengurangkan pengantungannya kepada eksport sebagai pemacu permintaan dan akan setanding dengan ekonomi maju seperti Taiwan dan New Zealand dari segi pertumbuhan permintaan domestik.


Tumpuan Dan Daya Saing : Dua Tunggak ETP

ETP didorong oleh dua tonggak utama; tumpuan dan daya saing. Ini terdiri daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang mewakili sektor-sektor yang telah di fokuskan. Sektor-sektor ini telah dikenalpasti berdasarkan potensi mereka untuk menyumbang kepada PNK dan potensi unutk menggandakan hasil di seluruh ekonomi Malaysia. Selain daripada itu, kerajaan juga mengambil kira kelebihan Malaysia dalam daya saing dari segi tenaga kerja yang mahir, jumlah sumber semulajadi, kepakaran dalam menghasilkan sesuatu dan juga potensi untuk mewujudkan kelebihan yang menjadi ia istimewa dalam bidang itu sendiri.


Setiap NKEA terdiri daripada 'Entry Point Projects' (EPP), yang meneroka bidang pertumbuhan baru dan 'Business Opputunities' (BO), yang membolehkan sektor unutk bergerak lebih tinggi didalam rantaian nilai. Sejumlah 152 EPP telah dikenal pasti dan 149 telah diumumkan. 

NKEAs



Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI)

Program ini juga mengenal pasti enam Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI) yang terdiri daripad dasar sokongan yang akan memacu daya saing global Malaysia. Teras utama SRI adalah untuk menjadikan Malaysia mempunyai persekitaran yang cekap, berdaya saing, dan mesra perniagaan yang bertaraf dunia. Perkara ini dapat menarik pelaburan asing yang amat bernilai.

Nombor dipaparkan dalam seksyen ini adalah betul pada tarikh pengumuman.




0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.