Wednesday, 10 July 2013

Seramai 37 pemimpin siswa universiti dari negara-negara ASEAN telah menyertai program kembara “UNESCO Natural Heritage Discovery: Mount Kinabalu Leadership Challenge, Appreciation and Experience 2013”.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr Shahril Yusof berkata daripada 37 pemimpin siswa tersebut, 12 pemimpin adalah para siswa dari negara Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

“Selain itu, terdapat 25 siswa dari universiti tempatan seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Politeknik Kota Kinabalu, Kolej Komuniti Kuala Langat, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia”, katanya.

Program yang bermula pada 28 Jun dan berakhir pada 7 Julai ini adalah kerjasama antara Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kelab UNESCO UMS. Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah merasmikan pelancaran program tersebut.

Beliau menambah program kembara selama 10 hari itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemimpin-pemimpin muda dari universiti tempatan dan ASEAN mengenai  kepimpinan dan penghayatan warisan semula jadi.

“Ketiga-tiga komponen program yang terdiri daripada aktiviti-aktiviti di UMS dan sekitar Kota Kinabalu, Homestay di Kg. Sinisian, Kundasang dan mendaki Gunung Kinabalu, 13,435 kaki di atas paras laut, adalah bertujuan untuk mendedahkan dan mengajar peserta bagaimana untuk menghadapi cabaran, menghargai Tuhan yang mengurniakan warisan semula jadi seperti tapak UNESCO di Taman Negara Kinabalu serta merasai pengalaman mengenai tradisi dan gaya hidup orang asli rakyat Sabah,” katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut Ketua Setiausaha Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi UNESCO, Mohd Sallehudin Hassan, Pembantu Khas kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof. Madya Abdul Razak Ahmad, dan Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Malaysia, Nazri Sulaiman.

Pelajar UKM yang terlibat di puncak Gunung Kinabalu

Sumber : http://www.ums.edu.my/v5/index.php/en/news/334-37-pemimpin-siswa-universiti-sertai-program-kembara-komuniti.html

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.