Thursday 13 June 2013

Oleh Saiful Bahri 
Foto Fakhrul Hafiz

CAMERON HIGHLANDS, 26 May 2013 – Satu kumpulan penyelidikan pelajar Universiti Kebangsaan Malaya (UKM) mendapati udara di Cameron Highlands mempunyai kualiti yang lebih baik daripada udara di tanah rendah.

Kesimpulan sebulat suara 47 orang pelajar dari enam kumpulan itu dirumuskan pada akhir lawatan sambil belajar mereka ke Cameron Highlands dalam satu program tiga hari "Sukai Liken" yang berakhir hari ini.

Mereka menggunakan liken, sejenis hidupan campuran terdiri daripada kulat dan lumut atau alga hijau yang hidup bersamaan di dalam suatu hubungan yang simbiotik.

Mereka terdiri dari pelajar tahun pertama dan kedua Oleokimia dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Kajian itu adalah fasa kedua kajian di kawasan tanah tinggi selepas membandingkan keputusan dengan penemuan mereka dalam fasa pertama kajian mengenai liken di kampus UKM sebulan lalu pada 27 April.

Saiz, warna dan kepelbagaian liken yang ditemui di kawasan tanah tinggi telah disukat mereka dan dihuraikan menggunakan indeks kepelbagaian liken (LBI). Liken kurang tahan kepada pencemaran udara dan ini menyebabkan ia jarang ditemui di kawasan bandar.

Kajian tertumpu pada batang pokok palma jenis “royal” untuk kajian mereka di kedua-dua kampus UKM dan di Cameron Highlands. Liken tumbuh di batang pokok itu dan pemerhati boleh menelitinya menggunakan alat kuadran 10cm kali 10cm dengan grid empat tangga.

Mereka dipimpin dan dibimbing oleh Profesor Dato' Abdul Wahid Samsudin dari jabatan Oleokimia dengan penasihat kelab Oleokimia, Dr Muhammad Rahimi Yusop dan sebelas fasilitator turut memberi panduan kepada mahasiswa.

Penaung program itu ialah Pengerusi Pusat Penyelidikan Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Prof Madya Dr Mohammad Kassim.

Walau bagaimana pun, usaha itu banyak dijayakan oleh pelajar-pelajar itu sendiri dengan dipimpin oleh pelajar oleokimia Siti Rahimah Mohd Shafiee.

Prof Abdul Wahid berkata liken telah digunakan kerana ia adalah suatu petunjuk baik alam sekitar, terutamanya atmosfera. Liken tidak mempunyai kulit luar untuk melindunginya dan warnanya berubah dengan kualiti udara. Liken sangat bernilai sebagai petunjuk ekologi yang dikenali kerana ia sensitif kepada pelbagai tekanan alam sekitar seperti kualiti udara dan perubahan iklim.

Prof Wahid sangat meminati liken dan penggunaannya dan menggambarkannya demikian:

"Liken amat menarik. Ia adalah sistem komposit, seperti batu karang, iaitu ia adalah gabungan kulat dan alga hidup bersama dalam hubungan simbiotik. Kedua-dua kulat dan alga itu mendapat manfaat daripada satu sama lain. Liken terdapat hampir di mana-mana, yang hidup dalam beberapa persekitaran yang paling ekstrem di dunia. Mereka terdapat di hutan hujan tropika dan terdapat juga di Cameron Highlands”.

Walaupun menyerupai satu organisma, liken sebenarnya adalah suatu gabungan simbiotik perkongsian antara kulat dan satu atau lebih organisma fotosintesis, iaitu alga atau cyanobacterium. Kulat dan alga yang hidup secara berkongsi boleh mendiami pelbagai jenis habitat dan keadaan di mana ia mustahil hidup secara bersendirian.

Biasanya kulat menyediakan kebanyakan struktur organisma komposit dan fizikal, maka ia tidak mempunyai perlindungan. Karbohidrat sebagai sumber makanan dikeluarkan oleh alga yang melakukan fotosintesis.

Liken adalah penting untuk proses kitaran ekosistem dan rangkaian makanan dan kehilangannya boleh mengganggu proses itu, kata Prof Wahid.

Tetapi apa yang terpenting yang terdapat dari liken ialah asidnya yang digunakan untuk membuat produk farmasi seperti antibiotik dan antivirus serta juga untuk kosmetik seperti pewangi.

Prof Wahid kesal bahawa hampir 4,000 daripada 18,000 spesies tumbuhan komposit liken itu telah “hilang” atau pupus, kebanyakannya daripada hutan tropika.

Beliau memperoleh ijazah pertamanya sarjana muda sains dalam bidang Kimia daripada UKM pada 1974.


0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.