Wednesday, 19 June 2013


Cyber Security Malaysia bersama dengan UKM telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi menawarkan kursus ijazah sarjana dalam bidang Keselamatan Siber. Perkara ini adalah sesuatu pencapaian yang amat membanggakan bagi UKM kerana telah berjaya berkerjasama dengan syarikat keselamatan siber utama di Malaysia ini.

Bidang ini ditawarkan kerana evolusi teknologi sedang berkembang pesat di negara kita ini dan kita memerlukan modal insan profesional tempatan yang terlatih bagi menangani jenayah siber dan juga melindungi harta siber bagi sesebuah organisasi lantas dapat memberi faedah terhadap pembangunan ekonomi negara.

Tawaran bagi Ijazah Sarjana Keselamatan Siber bermula pada tahun ini dan tempoh pengajian selama satu hingga tiga tahun bagi program sepenuh masa dan dua hingga empat tahun bagi program separuh masa. Bagi kelayakan pula, pemohon secara amnya memerlukan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komputeran dengan memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif minimum 2.75 beserta kelulusan bidang-bidang lain yang berkaitan dengan pengalaman kerja yang mencukupi dalam bidang berkaitan.

Download brochure :
  1.  http://www.ftsm.ukm.my/pdf/mcsbrocur.pdf
  2.  http://www.ftsm.ukm.my/pdf/brocurpro.pdf

Thursday, 13 June 2013

Oleh Saiful Bahri 
Foto Fakhrul Hafiz

CAMERON HIGHLANDS, 26 May 2013 – Satu kumpulan penyelidikan pelajar Universiti Kebangsaan Malaya (UKM) mendapati udara di Cameron Highlands mempunyai kualiti yang lebih baik daripada udara di tanah rendah.

Kesimpulan sebulat suara 47 orang pelajar dari enam kumpulan itu dirumuskan pada akhir lawatan sambil belajar mereka ke Cameron Highlands dalam satu program tiga hari "Sukai Liken" yang berakhir hari ini.

Mereka menggunakan liken, sejenis hidupan campuran terdiri daripada kulat dan lumut atau alga hijau yang hidup bersamaan di dalam suatu hubungan yang simbiotik.

Mereka terdiri dari pelajar tahun pertama dan kedua Oleokimia dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Kajian itu adalah fasa kedua kajian di kawasan tanah tinggi selepas membandingkan keputusan dengan penemuan mereka dalam fasa pertama kajian mengenai liken di kampus UKM sebulan lalu pada 27 April.

Saiz, warna dan kepelbagaian liken yang ditemui di kawasan tanah tinggi telah disukat mereka dan dihuraikan menggunakan indeks kepelbagaian liken (LBI). Liken kurang tahan kepada pencemaran udara dan ini menyebabkan ia jarang ditemui di kawasan bandar.

Kajian tertumpu pada batang pokok palma jenis “royal” untuk kajian mereka di kedua-dua kampus UKM dan di Cameron Highlands. Liken tumbuh di batang pokok itu dan pemerhati boleh menelitinya menggunakan alat kuadran 10cm kali 10cm dengan grid empat tangga.

Mereka dipimpin dan dibimbing oleh Profesor Dato' Abdul Wahid Samsudin dari jabatan Oleokimia dengan penasihat kelab Oleokimia, Dr Muhammad Rahimi Yusop dan sebelas fasilitator turut memberi panduan kepada mahasiswa.

Penaung program itu ialah Pengerusi Pusat Penyelidikan Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Prof Madya Dr Mohammad Kassim.

Walau bagaimana pun, usaha itu banyak dijayakan oleh pelajar-pelajar itu sendiri dengan dipimpin oleh pelajar oleokimia Siti Rahimah Mohd Shafiee.

Prof Abdul Wahid berkata liken telah digunakan kerana ia adalah suatu petunjuk baik alam sekitar, terutamanya atmosfera. Liken tidak mempunyai kulit luar untuk melindunginya dan warnanya berubah dengan kualiti udara. Liken sangat bernilai sebagai petunjuk ekologi yang dikenali kerana ia sensitif kepada pelbagai tekanan alam sekitar seperti kualiti udara dan perubahan iklim.

Prof Wahid sangat meminati liken dan penggunaannya dan menggambarkannya demikian:

"Liken amat menarik. Ia adalah sistem komposit, seperti batu karang, iaitu ia adalah gabungan kulat dan alga hidup bersama dalam hubungan simbiotik. Kedua-dua kulat dan alga itu mendapat manfaat daripada satu sama lain. Liken terdapat hampir di mana-mana, yang hidup dalam beberapa persekitaran yang paling ekstrem di dunia. Mereka terdapat di hutan hujan tropika dan terdapat juga di Cameron Highlands”.

Walaupun menyerupai satu organisma, liken sebenarnya adalah suatu gabungan simbiotik perkongsian antara kulat dan satu atau lebih organisma fotosintesis, iaitu alga atau cyanobacterium. Kulat dan alga yang hidup secara berkongsi boleh mendiami pelbagai jenis habitat dan keadaan di mana ia mustahil hidup secara bersendirian.

Biasanya kulat menyediakan kebanyakan struktur organisma komposit dan fizikal, maka ia tidak mempunyai perlindungan. Karbohidrat sebagai sumber makanan dikeluarkan oleh alga yang melakukan fotosintesis.

Liken adalah penting untuk proses kitaran ekosistem dan rangkaian makanan dan kehilangannya boleh mengganggu proses itu, kata Prof Wahid.

Tetapi apa yang terpenting yang terdapat dari liken ialah asidnya yang digunakan untuk membuat produk farmasi seperti antibiotik dan antivirus serta juga untuk kosmetik seperti pewangi.

Prof Wahid kesal bahawa hampir 4,000 daripada 18,000 spesies tumbuhan komposit liken itu telah “hilang” atau pupus, kebanyakannya daripada hutan tropika.

Beliau memperoleh ijazah pertamanya sarjana muda sains dalam bidang Kimia daripada UKM pada 1974.


Saturday, 8 June 2013

FELO PERDANA 

Tujuan Program Felo Perdana adalah untuk memberi anak muda Malaysia yang cemerlang dan berbakat pengalaman secara langsung dalam urusan tadbir negara. Felo akan bertugas di peringkat tertinggi dalam Kerajaan Persekutan membantu Menteri Kabinet dalam melaksanakan agenda nasional.

Felo-felo Perdana, sabagai bakal pemimpin negara, harus mempunyai minat di dalam hal ehwal awam dan perancangan dasar kerajaan. Inilah masanya bagi anak-anak muda Malaysia yang mempunyai aspirasi untuk terlibat secara langsung di dalam kepimpinan tanahair disamping menyumbang kearah pembangunan negara.Mohon Sekarang

MENGENAI

Sebagai Felo Perdana, anda akan bertugas sebagai executive intern kepada Menteri Kabinet di mana anda akan membantu mentor anda dan juga pegawai-pegawai kanan beliau merancang dan melaksanakan dasar-dasar Kerajaan disamping membantu di dalam usaha-usaha penerangan tentang pelbagai program Kerajaan melalui media sosial dan saluran komunikasi strategik yang lain.

Sebagai pemimpin muda, anda hendaklah menyumbangkan idea baru dan berani kepada Menteri anda disamping berperanan sebagai jambatan antara generasi anda dan juga Kerajaan.

Program felo ini dirangka untuk memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak, Menteri dan juga Felo yang terlibat.

Menteri Kabinet akan mendapat intern yang muda, idealistik, bertenaga dan bijak sepanjang tempoh program ini, yang mana akan memberi perspektif yang segar kepada beliau.

Manakala, Felo akan didedahkan kepada urusan penting di dalam pentadbiran tertinggi Kerajaan disamping peluang untuk mencurahkan bakti dalam menjayakan agenda nasional dan segala program transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri .

Butiran fungsi dan bidang tugas setiap Felo bergantung kepada mentor mereka. Setiap mentor akan menggariskan rangka kerja dan tanggung jawab yang akan diberi kepada Felo masing-masing.

Felo Perdana Siswazah

Program Felo Perdana Siswazah adalah terbuka kepada semua pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di bawah. Calon yang berminat perlu bersedia untuk menjalani penempatan sekurang-kurangnya 6 minggu dalam program ini. Program Felo Perdana Siswazah dirangka untuk memberi ruang kepada para pelajar untuk menyumbang kepada proses pembangunan Negara dan pada masa yang sama mengilap bakat kepimpinan mereka di peringkat tertinggi Kerajaan.
  1. Calon perlu merupakan Warganegara Malaysia
  2. Calon sedang mengikuti pengajian di mana-mana institut pengajian tinggi, dalam dan luar negara
  3. Calon perlu mempunyai keputusan akademik yang memuaskan.
  4. Calon perlu di bawah umur 30 tahun
  5. Calon perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang kukuh
  6. Calon perlu menunjukkan penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurrikulum
  7. Calon perlu mempamerkan tokoh kepimpinan yang berpotensi tinggi
Felo Perdana Graduan

Program Felo Perdana Graduan adalah terbuka kepada semua graduan baru daripada institut pengajian tinggi, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di bawah. Calon yang berminat perlu bersedia untuk menjalani penempatan sekurang-kurangnya 3 bulan dalam program ini. Program Felo Perdana Graduan dirangka untuk memberi ruang kepada para graduan yang ingin memahami dengan lebih mendalam urustadbir Kerajaan and menyumbang kepada proses pembuatan dasar di peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan.
  1. Calon perlu merupakan Warganegara Malaysia
  2. Calon perlu merupakan graduan baru daripada institut pengajian tinggi, dalam dan luar negara
  3. Calon perlu mempunyai rekod akademik yang memuaskan.
  4. Calon perlu di bawah umur 30 tahun
  5. Calon perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang kukuh
  6. Calon perlu menunjukkan penglibatan aktif dalam aktiviti ko-kurrikulur atau program kemasyarakatan
  7. Calon perlu mempamerkan tokoh kepimpinan yang berpotensi tinggi
PERMOHONAN

Untuk memohon menjadi Felo Perdana Graduan atau Felo Perdana Siswazah, sila serahkan CV/Biodata anda, bersekali dengan karangan esei dalam lingkungan 500 patah perkataan. Esei tersebut perlu menjelaskan apakah dasar kerajaan yang anda fikirkan paling penting dan bagaimana ianya dapat ditangani dengan lebih baik.

Semua permohonan perlu dihantar sebelum 20 Jun 2013 ke: perdanafellows@kbs.gov.my

Sumber : http://www.perdanafellows.com/join.html

Friday, 7 June 2013

Khas kepada seluruh mahasiswa/i UKM yang bakal menduduki peperiksaan akhir semester yang bermula seawal Isnin depan. Dengan itu, pihak UKM KINI menyediakan beberapa tips agar kita dapat mengulangkaji dengan cara yang sebetulnya dan juga cara untuk mengelakkan perasaan malas ketika belajar. Diharapkan agar tips daripada video ini berguna bagi anda semua. Jom sama-sama saksikan video ini. Selamat menduduki peperiksaan akhir semester dari UKM KINI!


Sumber : www.youtube.com

Wednesday, 5 June 2013



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Bulan Rejab merupakan bulan Allah yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada umat-Nya. Pintu rahmat terbuka luas untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas yang perlu dikerjakan dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.

Malam 27 Rejab

Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.

Amalan Malam Rejab :

1. Solat Sunat Tahajjud 2, 8 atau 12 rakaat. 
5. Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih.. 
6. Berdoa. 
7. Memohon keampunan diri dan ibu bapa. 
8. Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh. 

Sayyidatina Aishah berkata bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Mereka tetap kenyang tanpa berasa lapar dan tidak pula haus.

Peristiwa Penting

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

1. Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud; 

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ) :

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,

3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T ) :

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya :

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Iktibar Daripada Kisah Israk Dan Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dulu menjalani pembedahan dada yang dilakukan Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.

Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada baginda. Lantas baginda memilih susu.

Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau.”

Dalam peristiwa Mikraj pula, baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika Israk, antaranya ialah baginda melihat orang yang sedang memotong padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian seterusnya tanpa henti.

Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta yang disedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat ganda.”

Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi. Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.

Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri kemalasannya itu.”

Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu. Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa as, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).

Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.

Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang sama ke Makkah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.” Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.” 

Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.

Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi Musa as, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga. Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia.dan sebagainya, terus kembali ke alam dunia hingga ke Makkah dengan perjalanan yang singkat.

Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ (tahun berduka cita).

Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه


Sumber : iluvislam.com dan shafiqolbu.wordpress.com
Mari kita beramai-ramai memeriahkan program senaman 1 Malaysia yang bakal direkodkan di dalam Malaysian Book Of Record. 36 jam tanpa henti. Jangan lepaskan peluang ini!!
  • Masa : 6 Jun 2013 8:00 am
  • Tempat : Dewan Gemilang, UKM

Berminat untuk meningkatkan skill pimpinan disamping menimba pengalaman di negara luar? Inilah masanya untuk anda mencapai impian anda! Terbuka kepada semua pelajar ICT dan juga pelajar Sains Sosial dan Kemanusiaan. Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.ukm.my/pha/announcements/


Monday, 3 June 2013


Semoga berjaya!
Penyertaan itu hasil satu memorandum persefahaman ditandatangani UKM dengan Mexico, di Toluca Januari lalu.

Menerusi program singkat itu mahasiswa Mexico berpeluang mempelajari budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan, berinteraksi dengan warga kampus, selain memanfaatkan ilmu diperoleh. 

Mereka ditempatkan didua buah kolej kediaman UKM iaitu Kolej Dato' Onn dan Kolej Burhanuddin Helmi.

Hadir pada upacara sambutan yang berlangsung baru-baru ini ialah Timbalan Ketua Kedutaan Mexico di Kuala Lumpur, Lourdes Sosa; Ketua Pengarah Coacalco Technological Institute, Dr Francisco Jose Plata dan Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa UKM, Prof Dr Imran Ho Abdullah.


Sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MahasiswaMexicopelajaribudayatempatan/Article/index_html

Sunday, 2 June 2013


Program yang bertaraf kebangsaan ini telah dianjurkan sepenuhnya oleh mahasiswa UKM iaitu daripada sekretariat Racing Endurance Varsity Open Challenge (REVOC) yang berpusat di Kolej Burhanuddin Helmi dengan kerjasama Aspirasi UKM. Program ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada belia seluruh Malaysia di Festival Belia Putrajaya.

Penganjuran Segmen Ekspresi Mahasiswa yang bertemakan “Mahasiswa Berintegrasi Penggerak Transformasi” bermatlamat untuk memberi inspirasi kepada golongan mahasiswa untuk merasai satu pengalaman, menikmati pertembungan antara agama, bangsa dan budaya dalam aktiviti yang disertai, selaras dengan konsep 1 Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Segmen ini merupakan salah satu daripada segmen yang dianjurkan oleh MBM iaitu segmen Perkampungan Warna Warni Belia Malaysia di bawah Festival Belia Putrajaya 2013. Diharapkan, dengan pengalaman yang mereka peroleh semasa melibatkan diri dalam program ini dapat memangkin potensi integriti yang mampu merapatkan jurang  antara mahasiswa dan golongan profesional dalam merangka kejayaan sesuatu program.

Secara keseluruhan, segmen Ekspresi Mahasiswa ini berpotensi untuk menonjolkan bakat mahasiswa kepada masyarakat agar mahasiswa menjadi lebih berkeyakinan dan dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran pada peringkat tempatan mahupun global.

Program ini telah mendapat pengiktirafan oleh perdana menteri Malaysia iaitu Dato' Sri Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan juga mendapat liputan meluas oleh media di seluruh Malaysia.

Kejayaan Ekspresi Mahasiswa melambangkan kejayaan seluruh mahasiswa UKM dalam mengetengahkan modal insan yang berguna untuk negara pada masa akan datang.